KUALA LUMPUR, 31 Disember 2015 – Ranhill Holdings Berhad (Ranhill atau Syarikat) telah melancarkan prospektus untuk tawaran awam (Tawaran), sempena penyenaraian dan sebut harga seluruh modal sahamnya di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad pada hari ini.

Langkah ini diambil berikutan pengambilalihan berbalik (RTO) Symphony House Berhad (Symphony) oleh Ranhill, yang telah diluluskan oleh pemegang saham Symphony pada November 2015. Proses ini bakal menyaksikan semua pemegang saham Symphony sedia ada menjadi pemegang saham Ranhill dan perniagaan Symphony dilupuskan menerusi pengambilalihan oleh pihak pengurusan, yang telah disempurnakan pada Disember 2015. RTO ini juga membabitkan pemindahan status penyenaraian Symphony kepada Ranhill, lantas membolehkan Ranhill disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad.

Sempena dengan RTO ini, Ranhill akan melaksanakan Tawaran sebanyak 475,000,000 saham yang mewakili kira-kira 50.5% daripada modal saham terbitan dan berbayar Syarikat. Ini merangkumi 100,000,000 saham yang ditawarkan untuk jualan dan terbitan awam sehingga 375,000,000 saham, yang dikeluarkan untuk pelabur runcit dan institusi, tidak termasuk proses perumpukan berlebihan.

Tawaran ini dijangka akan meraih hasil sehingga RM637.5 juta daripada terbitan awam, yang akan digunakan untuk pembayaran balik pinjaman, penyelesaian Cadangan Pemerolehan Baki RWT (Cayman) seperti yang ditakrif dalam prospektus, pengembangan perniagaan air kami di negara China dan untuk tujuan modal kerja. Hasil daripada tawaran jualan sehingga RM170 juta akan diperoleh secara keseluruhannya oleh pemegang saham yang menjual sahamnya iaitu, Cheval Infrastructure Fund L.P. (bertindak menerusi rakan kongsi am, TAEL Management Co. (Cayman) Ltd).

Selepas disenaraikan, jumlah modal terbitan dan berbayar Ranhill adalah kira-kira RM940.9 juta yang merangkumi 940,994,967 saham, dengan modal pasaran kira-kira RM1.6 bilion berdasarkan harga runcit asal RM1.70 sesaham.

Ranhill mempunyai perniagaan berdaya maju dalam sektor alam sekitar dan tenaga. Dalam perniagaan alam sekitarnya, Ranhill, menerusi anak syarikatnya SAJH, ialah pengendali air eksklusif bagi seluruh Negeri Johor, menyediakan perkhidmatan bekalan air kepada negeri dengan penduduk kedua paling ramai di Malaysia. Perniagaan ini juga diperluas kepada operasi loji rawatan air dan kumbahan, pengurangan kadar air tidak berhasil dan perkhidmatan khusus dalam pengurusan dan pengotimuman aset utiliti air. Di samping itu, Ranhill juga mempunyai konsesi air dan kumbahan di negaranegara China dan Thailand dengan jumlah reka bentuk kapasiti lebih daripada 400 MLD. Di negara China, Ranhill kini mengendalikan sepuluh (10) loji kitar semula air dan kumbahan di wilayah-wilayah Henan, Anhui, Jiangxi dan Liaoning.

Sementara itu, menerusi perniagaan jana kuasanya, Ranhill telah memantapkan kedudukannya sebagai salah satu daripada penjana kuasa bebas terbesar di Sabah, dan terlibat dalam menyediakan perkhidmatan operasi dan penyenggaraan bagi loji jana kuasa dan juga penyediaan perkhidmatan sokongan.

Tan Sri Hamdan Mohamad, Presiden dan Ketua Eksekutif Ranhill, berkata, “Perniagaan air dan kuasa Ranhill telah mencatatkan pendapatan dan keuntungan mampan selama ini. Tawaran ini memberi peluang unik kepada pelabur untuk menyertai sektor alam sekitar dan tenaga yang kukuh menerusi sebuah syarikat dengan aliran tunai stabil daripada kontrak jangka panjang, dan juga rekod pencapaian terbukti menerusi keupayaan operasi yang mantap.”

“Diterajui oleh pasukan pengurusan yang berwibawa, kami sedang berada pada kedudukan yang kukuh untuk memanfaatkan sektor pertumbuhan ini. Kami telah berjaya memanfaatkan rekod pencapaian tempatan dalam sektor air untuk mengembangkan sayap perniagaan kami ke China dan Thailand. Permintaan bagi rawatan air dan kumbahan di negara-negara ini terus meningkat, dengan lebih tumpuan terhadap pembangunan infrastruktur dan pengurusan sumber air yang lebih baik, dan ini merupakan satu perkembangan positif bagi kami. Perniagaan jana kuasa kami juga dijangka dapat memanfaatkan pertumbuhan mantap permintaan elektrik di Sabah, selain ditambah inisiatif Kerajaan Malaysia untuk mengukuhkan sistem bekalan elektrik untuk memenuhi permintaan masa depan. Di Sabah serta di tempat-tempat tertentu rantau ASEAN, terdapat peluang yang baik untuk memanfaatkan sumber tenaga alternatif seperti solar, angin dan geoterma untuk menambah kepada portfolio semasa kilang gas kami, yang mungkin mewujudkan bidang khusus untuk Ranhill dalam sektor hijau dan tenaga boleh diperbaharui.”

“Pelabur dijangka mendapat manfaat daripada prospek yang cerah. Kami komited untuk mengukuhkan kedudukan daya saing sambil kami melangkah maju ke hadapan, membina kepakaran dan memperluas operasi kami di Malaysia dan pasaran utama Asia lain,” rumus Tan Sri Hamdan.

Tawaran institusi melibatkan penerbitan sehingga 354,180,000 saham untuk ditawarkan kepada institusi Malaysia dan pelabur terpilih. Ini termasuk pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dan juga pelabur institusi asing dan pelabur terpilih di luar Amerika Syarikat. Setakat ini, sejumlah 172,561,000 saham tawaran telah dilanggan oleh tiga pelabur utama, iaitu Corston- Smith Asset Management Sdn Bhd, Lembaga Tabung Haji, dan Permodalan Darul Ta’zim Sdn Bhd.

Sementara itu, tawaran runcit pula membabitkan penerbitan 120,820,000 saham pada harga runcit asal RM1.70 sesaham. Ini termasuk tawaran terhad sebanyak 65,994,965 saham kepada pemegang saham sedia ada Ranhill yang layak, yang dahulunya pemegang saham Symphony dan layak menyertai Skim Penyusunan (sebagai sebahagian daripada RTO), dan 36,000,000 saham terbitan yang diperuntukkan bagi permohonan oleh pengarah dan kakitangan layak dan juga individu yang telah menyumbang kepada kejayaan Ranhill dan anak syarikatnya. Tambahan lagi, sejumlah 18,825,035 saham terbitan juga ditawarkan untuk permohonan orang ramai di Malaysia menerusi undian.

Ranhill dijangka disenaraikan pada pertengahan bulan Februari 2016.