KUALA LUMPUR, 16 Mac 2016 – Ranhill Holdings Berhad (Ranhill), sebuah syarikat konglomerat Malaysia yang terlibat dalam sektor alam sekitar dan tenaga, telah disenaraikan secara rasmi di Pasaran Utama Bursa Malaysia hari ini.

Perniagaan air dan kuasa Ranhill adalah berasaskan konsesi dan telah menjana pendapatan dan keuntungan mampan selama ini. Menerusi anak syarikatnya SAJ Holdings, Ranhill kini merupakan pengendali air eksklusif bagi seluruh Negeri Johor, menyediakan perkhidmatan bekalan air kepada negeri kedua paling ramai penduduk di Malaysia. Di samping itu, perniagaan air Kumpulan pula terdiri daripada operasi air dan loji rawatan air kumbahan, pengurangan air bukan hasil dan perkhidmatan khusus dalam pengurusan dan pengoptimuman aset utiliti air.

Syarikat ini juga telah meluaskan sayap perniagaan ke luar sempadan Malaysia, dengan konsesi air dan air kumbahan di pasaran utama di China dan Thailand. Di negara China, Ranhill mengendalikan sepuluh loji rawatan air minuman, air kumbahan perindustrian dan air tebus guna di wilayah Henan, Anhui, Jiangxi dan Liaoning.

Bagi perniagaan kuasa pula, Ranhill telah mengembangkan operasi dan muncul sebagai salah satu pengeluar kuasa bebas terbesar di Sabah. Menerusi anak syarikatnya Ranhill Powertron I dan Ranhill Powertron II, Kumpulan ini mengendali dan menyenggarakan dua aset penjanaan kuasa dengan kapasiti tergabung sebanyak 380 MW.

Tan Sri Hamdan Mohamad, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill Holdings Berhad, berkata, “Kami amat sukacita dengan pencapaian mercu jaya penting dalam pertumbuhan korporat kami ini. Dengan penyenaraian pada hari ini, kami berharap ia akan memantapkan lagi prospek bagi sektor alam sekitar dan tenaga dan seterusnya, mengukuhkan lagi kedudukan kami sebagai peserta penting dalam industri ini, di dalam negara dan pada peringkat serantau.”

“Dalam pada itu, berpegang kepada rekod pencapaian kami yang telah terbukti, kami akan menggunakan kelebihan ini untuk meraih peluang-peluang bagi meluaskan lagi perniagaan kami. Ini termasuk menyokong mandat Kerajaan untuk mengurangkan air tanpa hasil (NRW) di Malaysia kepada 25% menjelang 2020. Sebagai salah sebuah syarikat pengurusan NRW di Malaysia, Ranhill berada pada kedudukan kukuh untuk menyokong inisiatif ini menerusi perniagaan kami yang mampu mengurangkan NRW dan sistem AQUA Smart berasaskan web kami, yang bakal dilaksanakan di seluruh negara.”

“China kekal sebagai pemacu pertumbuhan penting bagi perniagaan air Ranhill, terutamanya kerana piawaian alam sekitar dan kualiti air negara tersebut kini semakin ketat. Operasi kami di negara itu amat bertumpukan operasi rawatan air kumbahan perindustrian untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam bidang ini. Kami telah membangunkan teknologi terkini dengan reka bentuk dan tanda dagang Malaysia, dimana telah meningkatkan kecekapan loji rawatan syarikat kami. Kami telah memanfaatkan penyelesaian dalaman ini untuk memberi tumpuan terhadap pasaran khusus bagi rawatan air kumbahan perindustrian.”

“Sumbangan hasil semasa daripada operasi negara China kepada Kumpulan ialah 10% hingga 15%, dan angka ini dijangka meningkat. Kami berhasrat untuk meluaskan operasi terutamanya di bandar dan daerah dengan potensi kukuh bagi pertumbuhan perindustrian lebih pantas. Sasaran kami ialah untuk mengukuhkan kedudukan kami di pasaran dengan meningkatkan kapasiti rawatan air kepada 1,000 MLD dalam tempoh tiga tahun akan datang.”

“Sementara itu, perniagaan kuasa kami juga dijangka boleh mengambil kesempatan daripada permintaan elektrik yang tinggi di negeri Sabah. Industri ini dipacu oleh pertumbuhan penduduk dan permintaan daripada perniagaan komersial dan perindustrian.”

“Dengan strategi pertumbuhan jangka panjang yang disusun rapi untuk perniagaan alam sekitar dan kuasa, kami yakin bahawa Ranhill akan dapat menjana pertumbuhan mampan pada tahun-tahun akan datang,” rumus Tan Sri Hamdan.