Putrajaya: Langkah kerajaan memberi keutamaan dalam bantuan kepada Turkiye sebagai membalas jasa baik negara itu yang banyak membantu termasuk syarikat negara terutama ketika berhadapan pandemik Covid-19.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tumpuan khusus diberi dalam membantu Turkiye berikutan kejadian gempa bumi yang berlaku antara paling buruk dalam sejarah.

"Mengapa kita beri tumpuan agak khusus kerana kejadian ini ia paling teruk dalam sejarah selain tsunami di Acheh. Kesan kematian dan kerosakan masih dikira, jumlah jauh merentasi apa yang diunjurkan sebelum ini.

"Turkiye negara yang banyak sekali membantu negara. Kita tahu, antaranya Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) yang beroperasi di lapangan terbang di Istanbul, yang mengalami kerugian yang banyak akibat Covid-19, itu dibantu dengan dana yang besar oleh Turkiye

"Malaysia mahu rakyat tahu, ini bukan hubungan biasa , (mereka) sahabat dan hubungan sangat dekat dengan kita dan bila syarikat kita itu mengalami permasalahan besar, itu dibantu luar daripada kaedah luar biasa, jumlah lebih besar, jauh lebih besar daripada (dana) yang dikumpul hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sumbangan Dana Bencana di Kompleks Seri Perdana di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Lebih RM25 juta berjaya dikumpulkan menerusi Majlis Sumbangan Dana Bencana bagi meringankan beban mangsa tragedi gempa bumi Turkiye dan Syria.

Sumbangan terbesar diterima daripada Yayasan Albukhary berjumlah RM10 juta, Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (RM4.4 juta), Brahim Dewina Group ( RM3 juta), YTL Corporation Bhd (RM2 juta).

Penyumbang lain termasuk Yasyasan Sime Darby sebanyak RM1.5 juta, NGO India Muslim (RM1.5 juta), Tenaga Nasional Bhd (RM500,000), FGV Holdings Bhd ((RM500,000), Ranhill Holdings Bhd (RM300,000) dan Microlink Solution Bhd (RM100,000).

Selain itu katanya, Turkiye turut memberi pertimbangan berbeza dalam kerjasama projek Malaysia bersama negara itu.

"Kemudian syarikat kita yang melabur projek di Turkiye itu diberi keistimewaan dan layanan berbeza," katanya.

Beliau berkata, keputusan untuk melawat ke Turkiye juga bagi memberi semangat kepada Presiden negara itu, Recep Tayyip Erdogan dan rakyatnya susulan tragedi gempa bumi yang meragut ribuan nyawa.

"Selepas bercakap panjang dengan Erdogan, saya dapat gambarkan keresahan dan kegelisahan beliau, sebagai sahabat saya fikir eloklah saya turun secara peribadi ke Turkiye malam ini juga dan balik esok," katanya.


Related Articles:

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/02/1064260/lebih-rm25-juta-dana-dikumpul-bantu-mangsa-gempa-turkiye-syria
https://www.utusan.com.my/nasional/2023/02/lebih-rm25-juta-dikumpul-bantu-mangsa-gempa-turkiye-syria/?utm_source=headtopics&utm_medium=news&utm_campaign=2023-02-14
https://headtopics.com/my/lebih-rm25-juta-dikumpul-bantu-mangsa-gempa-turkiye-syria-35380805