Johor Bahru : Paip air sepanjang 1,000 kilometer (km) yang berusia lebih 40 tahun di daerah ini, kini dalam proses penggantian paip baharu yang dijangka siap akhir tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, ia adalah langkah proaktif kerajaan negeri bersama kontraktor dan Ranhill SAJ yang membabitkan kos keseluruhan RM935 juta.

Katanya, ini adalah fasa pertama dalam program penggantian paip lama negeri Johor yang mensasarkan penggantian paip dalam diganti pada akhir 2025.

"Alhamdulillah ini satu hala tuju kerajaan negeri untuk memastikan paip lama seluruh negeri ini dapat diganti dengan baharu, supaya tiada air terbazir melalui paip pecah dan bocor terutama di bawah tanah yang sudah lama tidak diganti.

"Dengan peruntukan RM935 juta, kita gantikan di kawasan yang lebih kritikal kita, khususnya di kawasan ramai penduduk di Johor Bahru, Taman Ungku Tun Aminah dan taman perumahan lama.

"Secara keseluruhan sebanyak 1,000 km paip dapat diganti pada tahun ini, iaitu 20 peratus daripada 6,000 paip yang dijadualkan akan diganti," katanya pada sidang media selepas melawat kerja penggantian paip air di Jalan Tan Hiok Nee di sini, hari ini.

Mohd Fazli berkata, paip lama ini perlu diganti berikutan Ranhil SAJ menerima hampir 7,000 aduan berhubung kejadian paip bocor setiap bulan.

Katanya dengan penggantian paip air lama ini, gangguan kebocoran paip air lama dapat dikurangkan.

"Alhamdulillah projek ini berjalan lancar oleh kontraktor dengan pemantauan Ranhill SAJ serta kerajaan negeri sendiri.

"Kita tidak terus tukar paip lama untuk pemasangan kerana ia akan menyebabkan gangguan kepada pemegang akaun yang ramai.

"Kita buat paip baru dahulu dan akan tukar sistem paip lama ke baru, supaya tidak ramai yang terbabit dengan gangguan bekalan air," katanya.


Related Articles:

https://dagangnews.com/article/ranhill-utilities-raih-kontrak-reka-bentuk-kejuruteraan-bernilai-rm210-juta-daripada-servizi-energia-italia-25976
https://siakapkeli.my/2023/07/31/rm935-juta-diperuntukkan-ganti-1000km-paip-lama-di-johor/
https://www.utusan.com.my/berita/2023/08/penggantian-paip-capai-kemajuan-20-peratus-siap-menjelang-2025/