KUALA LUMPUR: Ledakan pembangunan pusat data di Johor dijangka memacu permintaan bekalan air yang ketara, sekali gus meletakkan Ranhill Utilities Bhd sebagai penerima manfaat utama trend ekonomi berkenaan.
RHB Investment Bank berkata, Johor bakal memiliki 48 pusat data yang beroperasi sepenuhnya menjelang 2030.
Katanya, kesemua pusat data berkenaan dijangka mempunyai jumlah kapasiti sah sebanyak 5,100GW.
Setakat ini katanya, Johor sudah mempunyai 15 buah pusat data yang telah siap dibina dengan kapasiti mencecah 1,700GW, menandakan perkembangan pesat infrastruktur digital di wilayah selatan tanah air.
"Dianggarkan bahawa kapasiti tambahan sebanyak 3.4GW daripada projek infrastruktur itu mungkin memerlukan bekalan air sekitar 238 juta liter sehari (MLD).
"Anggaran ini dibuat berdasarkan andaian penggunaan air sebanyak 0.07 MLD bagi setiap megawatt kapasiti pusat data yang beroperasi," katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.
Ranhill mengunjurkan keuntungan teras bagi suku pertama tahun kewangan 2026 akan melonjak antara RM12 juta hingga RM15 juta, berbanding hanya RM6 juta pada suku keenam tahun kewangan 2025.
Peningkatan keuntungan itu sebahagian besarnya didorong oleh kadar tarif air yang lebih tinggi.
Selain itu, RHB Investment berkata, bagi menampung keperluan mendesak itu, kapasiti bekalan air tambahan jangka dekat sekitar 1,100 MLD akan disalurkan daripada loji-loji rawatan air baharu.
Ia katanya termasuk Loji Rawatan Air Semanggar berkapasiti 60 MLD yang dijangka siap pada 2026 dan Layang 2 Fasa 2 berkapasiti 150 MLD pada 2027.
Perancangan strategik itu katanya selari dengan matlamat kerajaan negeri Johor untuk meningkatkan kapasiti bekalan air kepada sekitar 3,000 MLD menjelang 2030.
Jumlah itu katanya merupakan peningkatan ketara daripada kapasiti semasa sebanyak 2,352 MLD bagi memastikan jaminan bekalan air yang mampan.
"Dengan hanya 238 MLD diperuntukkan untuk pusat data, terdapat lebihan kira-kira 700 MLD yang boleh disalurkan ke sektor lain.
"Bekalan ini akan menyokong industri dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura serta kawasan perumahan yang sedang berkembang pesat di sekitar Johor Bahru akibat projek Sistem Transit Laju.
"Selain fokus di Johor, Ranhill juga berpotensi meraih manfaat daripada Program Air Tidak Terhasil (NRW) Kebangsaan yang mempunyai peruntukan sebanyak RM2.5 bilion," katanya.
